"SAYA SUDAH AJAK elok-elok, sudah guna pelbagai cara, tetapi dia masih buat tidak tahu sahaja."
"Itulah dia, hatinya Allah tutup. Sejuta kali saya tegur, buat bodoh sahaja."
"Kita sudah usaha dah menegurnya. Berbuih mulut. Berkali-kali tegur. Tetapi, tidak sedar-sedar juga."
Begitulah ayat-ayat yang sering keluar dari mulut kita, apabila kita berusaha mengajak seseorang kepada kebaikan, atau menegur kesalahannya, kemudian dia buat tak endah, atau menghina kita semula, mempermainkan kita sebaliknya.
Kita rasa kecewa, lantas menyalahkan sikapnya yang buruk, yang degil untuk menerima kebenaran. Mungkin kekecewaan kita itu keluar, selepas berkali-kali berdakwah, menegur, berusaha dan dia tetap tidak berubah gaya. maka kita menyangka dia sudah tiada harapan.
Tetapi apakah kita mendoakannya kebaikan?
Apakah kita mendoakannya, agar hatinya menerima ajakan kita?
Kita sangka sudah habis usaha.
Benarkah usaha itu terhad pada tindakan fizikal? Benarkah peluang untuk berusaha itu telah tertutup hanya dengan penolakan selepas melakukan usaha yang banyak?
Kita mungkin lupa untuk berdoa agar Allah membuka hatinya. Kita terlupa untuk solat sunat, bermunajat agar Allah membuka jiwanya menerima ajakan kita. Kita mungkin lupa.
Sebab itu, hatinya tidak pernah terbuka.
Yang Memberi Hidayah
Allah berfirman:
Sesungguhnya kamu tidak memberikan hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai, tetapi Allahlah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia sukai. (Al-Qasas, 28;56)
Apakah kita pernah meminta kepada Tuan Kepada Hidayah? Pernahkah kita sujud dan meminta kepada-Nya untuk melapangkan jiwa orang yang kita seru?
Sesungguhnya, kita ini hanya ditugaskan untuk berusaha. Hidayah tetap di tangan Allah. Maka, apakah kita telah berusaha sepenuhnya?
"Doa itu sendiri merupakan salah satu usaha kita untuk menyeru manusia kepada kebaikan"
Sumber: Batu-bata kehidupan, Hilal.
No comments:
Post a Comment